Artikel ini disiarkan pada : 2011/08/11
Oleh MyMetro
Pendedahan Elak Mudah Ditipu
SEJAK usianya 11 tahun lagi, dia sering didedahkan dengan aktiviti yang dijalankan di ladang milik
datuknya.Walaupun tidak begitu memahami tujuan dia perlu mengikut segala arahan datuknya, si gadis
manis ini tetap menurutinya.
Apabila menginjak dewasa, gadis yang dikenali sebagai Natasha Mohamad Ozeir sedar segala
kelebihan hasil tunjuk ajar dan pengalaman berharga diberikan datuknya itu.
“Setiap tahun kami sekeluarga berkumpul beramai-ramai sehingga 15 orang untuk masuk ke ladang
dengan menaiki trak.“Kami lakukan semua aktiviti yang biasa dilakukan pekerja ladang, bermula
dengan cara menaiki trak hinggalah proses mengutip bahan herba untuk dibawa ke kilang.
“Perkara biasa bagi kami memanjat trak dan berdiri di bahagian belakang
kenderaan itu ketika bergerak.
“Meredah sungai dan melalui kawasan ladang ketika panas sungguh
menyeronokkan malah ia biasa dilakukan menjelang cuti sekolah,” katanya.
Baginya, proses memilih dan mengenal pasti pokok herba yang boleh dijadikan bahan dalam
penghasilan produk di ladang juga pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan sehingga kini.
“Selain didedahkan dengan proses mengutip bahan herba yang ditanam di ladang, datuk juga memberi
peluang kepada kami untuk melihat secara dekat kaedah di kilang pemprosesan di kawasan itu.
“Ia dapat memberi pengetahuan dan kefahaman bagaimana sesuatu produk itu dihasilkan dan proses
yang dilakukan seperti mengasing, mengering dan membungkus.
“Datuk pernah memberitahu tujuan
dia membawa cucunya melihat dan merasai sendiri aktiviti di ladang sehingga dapat menghasilkan
ramuan produk yang berkualiti.
“Pendedahan itu bertujuan memastikan kami tidak mudah ditipu. Selain itu, kami dapat memahami
segala proses yang dilakukan pekerja di ladang serta kilang yang nyata memudahkan kami kelak,”
katanya.
Dia mengakui segala usaha dilakukan datuknya itu yang memberi peluang kepadanya adik-beradik
mempelajari segala proses dari mula hingga ia dipasarkan ada kebaikannya dan kini dia melihat
manfaatnya apabila menyandang jawatan di syarikat berkenaan.
"Pengetahuan itu sememangnya dapat membantu saya menerangkan dengan jelas kepada pelanggan
bagaimana produk dihasilkan bagi menjaga mutunya,” katanya yang begitu teruja ketika mengimbas
kembali pengalamannya di ladang yang masih diingati sehingga kini.
Kata Natasha, tidak hanya menjalankan aktiviti di ladang ketika bercuti, malah keluarganya
menyambut Aidilfitri di situ untuk meraikannya bersama pekerja.Ia kebiasaannya dilakukan datuknya
bagi merapatkan hubungan dengan pekerja di samping menjamu mereka dengan hidangan istimewa
pada hari raya.
Namun demikian, anak kedua daripada dua beradik ini nyata mempunyai semangat kental dalam
menjalankan tugas yang digalas ketika ini.Menjawat jawatan sebagai Pengurus Pemasaran di Balung
Plantation Sdn Bhd (Balung) yang juga milik syarikat datuknya, Tan Sri Harris Salleh, dia tidak pernah
memandang mudah dengan tanggungjawab diberikan.
Mengamalkan sikap belajar, bersabar dan merendah diri menjadikan Natasha kini semakin bijak
menguruskan pelanggan yang ditemuinya saban hari.Walaupun pada mulanya dirasakan tugasan yang
diberikan sukar kerana dibesarkan dengan kemewahan, berkat kesungguhan dan semangat yang
dimiliki menjadikan gadis manis ini terus berusaha memberikan yang terbaik untuk syarikat datuknya.
Walaupun baru mencecah tiga tahun menjadi pengurus pemasaran di syarikat itu bagi cawangan
Semenanjung Malaysia, nyata dia bijak menggunakan ilmu yang dipelajari bagi memperkenalkan
produknya dalam kalangan masyarakat sekitar.
“Bukan mudah sebenarnya untuk saya menjalankan tugas kerana sebelum ini dibesarkan dengan
kemewahan.“Pada mulanya memang sukar, tetapi disebabkan minat dalam bidang pemasaran, saya
tetap meneruskan kerjaya ini bagi memajukan lagi perniagaan keluarga.
“Tugas yang diberikan sebenarnya memberikan saya peluang mempelajari dengan lebih mendalam
berkenaan ilmu pemasaran yang perlu digunakan dalam memperkenalkan produk ini.“Selain itu,
kesabaran juga penting jika ingin menarik minat pelanggan untuk mencuba produk yang dihasilkan
selain bijak memberikan jawapan kepada pelanggan.
“Oleh itu, perasaan merendah diri ketika berhadapan pelanggan mesti ada agar mereka rasa dihargai
dan berpuas hati dengan penjelasan produk yang dibeli selain menghormati pandangan yang diberikan.
“Bukan mudah sebenarnya mewujudkan kepercayaan pelanggan terhadap produk yang dipasarkan
misalnya kebaikan teh yang dihasilkan Balung.
“Ini kerana ramai yang sudah terbiasa dengan minuman teh tanpa kandungan herba yang dikatakan
lebih enak walaupun khasiat yang diberikan tidak menepati seperti apa yang diinginkan mereka,”
katanya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai jenama produk yang giat diperkenalkan di Semenanjung Malaysia
itu,
Natasha menambah, Balung mempunyai keluasan tanah kira-kira 3,000 ekar di kawasan Tawau,
Sabah, yang diusahakan sekitar 1976.
Ia bermula dengan tanaman seperti koko, kelapa sawit dan pelbagai tanaman lain yang menjadi
komoditi utama dimiliki sepenuhnya oleh syarikat Kebun Rimau Sdn Bhd.Sekitar 1990-an, Balung giat mengusahakan tanaman seperti mengkudu, misai kucing, serai, nira
kabung dan gaharu selain berusaha melaksanakan Tenaga Hijau dalam melaksanakan Projek Elektrik
Hidro Biogas di kawasan ladangnya.
Mempunyai pensijilan Sistem Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (HACCP) memberi peluang
kepada produknya menembusi pasaran global seperti di Jepun dan Jerman.
Kini, gadis berwajah kacukan Arab dan Sabah itu boleh berbangga dengan kejayaan yang dimiliki
syarikat perniagaan keluarganya selain penerimaan daripada pelanggan di Semenanjung Malaysia yang
mula mempercayai khasiat terkandung di dalam produknya.
“Sehingga kini saya masih berusaha memasarkan dan memperkenalkan lagi produk kesihatan
berasaskan herba ini kepada pelanggan di Semenanjung dalam usaha memupuk kesedaran untuk
menjalani kehidupan yang lebih sihat di kalangan mereka,” katanya dengan penuh harapan agar dapat
meluaskan lagi pasaran produk keluaran Balung.
PROFIL:
NAMA: Natasha Mohammad Ozeir
UMUR: 25 tahun
ASAL: Sabah
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di Kolej Universiti Help, A Level di Universiti Oxford, United Kingdom, Sekolah Antarabangsa Alice Smith, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment